Dalam konteks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, unsur mitos
merupakan sebahagian daripada ciri yang signifikan, terutama pada bahagian awal
teks tersebut. Kewujudan unsur mitos dalam teks tersebut berkait rapat dengan
realiti kehidupan masyarakat Melayu pada zaman itu yang masih berada dalam
lingkungan pengaruh Hindu dan animisme yang kuat.
JENIS-JENIS MITOS
Mitos dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu dapat
dibahagikan kepada empat jenis, iaitu:
1 mitos asal usul raja;
2 mitos pembukaan negeri;
3 mitos kedatangan Islam; dan
4 mitos-mitos lain.
- Mitos Asal Usul Raja
Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, dalam upaya hendak
meningkatkan martabat dan kedudukan raja-raja Melayu, khususnya raja Melaka,
telah mengaitkan bahawa raja-raja tersebut berasal usul daripada keturunan Raja
Iskandar ZulKarnain, Nabi Sulaiman, clan Nusyirwan Adil. Pertalian ini bermula
apabila Raja Suran (cucu Raja Sulan) telah masuk ke dasar laut dan berkahwin
dengan Puteri Mahtabu'l-Bahri dari negeri Dika. Perkahwinan tersebut telah
menghasilkan tiga orang putera - Nila Pahlawan, Krisyna Pandita, dan Nila
Utama. Ketiga-tiga putera ini telah naik ke bumi dan mendarat di Bukit Si
Guntang, Palembang. Keistimewaan dan keluarbiasaan yang dimiliki mereka telah
membolehkan mereka menjadi raja - Nila Pahlawan menjadi raja di Minangkabau;
Krisyna Pandita menjadi raja di Tanjung Pura; Nila Utama pula menjadi raja di
Palembang dan seterusnya di Temasek dengan gelaran Seri Teri Buana. Seri Teri
Buanalah yang kemudiannya mengembangkan keturunan raja-raja Melaka.
- Mitos Pembukaan Negeri
Sulalatus Salatin Sejarah Melayu banyak juga mengetengahkan
mitos yang berkaitan dengan pembukaan sesebuah negeri. Dalam hal memilih dan
memberikan nama negeri ini, penamaan tersebut dibuat berdasar kepada keyakinan
para raja terhadap sesuatu keganjilan dan kejadian luar biasa yang pada
pandangan mereka akan mendatangkan keberuntungan kepada negeri tersebut.
Antaranya termasuklah:
- pembukaan negeri Singapura yang dikaitkan dengan peristiwa kemunculan seekor binatang yang bernama “Singa”
- pembukaan negeri Melaka yang dikaitkan dengan peristiwa seekor pelanduk putih yang telah mengalahkan anjing;
- pembukaan Semundra yang dikaitkan dengan peristiwa Merah Silu bertemu dengan seekor semut besar seperti kucing; dan
- pembukaan Pasai yang dikaitkan dengan peristiwa anjing Sultan Maliku's-Salleh yang bernama si Pasai menyalak di suatu kawasan tanah tinggi
- Mitos Kedatangan Islam
Sebagaimana mitos asal usul, tujuan mitos kedatangan Islam
ini diselitkan dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu adalah untuk mengangkat
darjat raja-raja Melayu. Ada dua peristiwa yang memerihalkan mitos kedatangan
Islam ini, iaitu:
- kedatangan Islam di Semundra yang dikaitkan dengan peristiwa Merah Silu bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad s. a. w. Dalam mimpi itu, Nabi Muhammad s. a. w. telah meludah ke dalam mulut Merah Silu dan sebagai hasilnya, Merah Silu dapat mengaji pada keesokan harinya manakala tubuhnya pula berbau narawastu; dan
- kedatangan Islam di Melaka yang dikaitkan dengan peristiwa Raja Kecil Besar (Sultan Muhammad Syah) telah diislamkan oleh Nabi Muhammad s. a. w. melalui mimpi. Dalam mimpi itu, dikatakan bahawa Raja Kecil Besar telah diajar mengucap dua kalimah syahadat, dikhatankan, dan diberi nama Islam. Keesokannya, semua yang dimimpikan oleh baginda menjadi kenyataan dan tubuh baginda turut berbau narawastu
- Mitos-mitos Lain
Dalam teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, terdapat
beberapa peristiwa berunsur mitos yang ditulis untuk tujuan yang khusus.
Antaranya termasuklah untuk menggambarkan kepercayaan sesuatu anggota
masyarakat ataupun untuk mengkritik raja secara halus. Yang berikut adalah
antara beberapa contoh mitos tersebut.
- Peristiwa Badang menjadi gagah setelah makan muntah hantu - Badang telah beroleh kekuatan dan kegagahan yang sangat luar biasa setelah memakan muntah hantu yang mencuri hasil tangkapannya. Kegagahan Badang yang luar biasa itu telah membolehkan dia mencabut pokok-pokok kayu Yang besar dengan akarnya sekali dan hal ini menggembirakan majikannya kerana ladangnya telah dapat dibersihkan dalam masa yang singkat.
- Peristiwa ikan todak menyerang Singapura - peristiwa ini berlaku semasa Singapura diperintah oleh Paduka Seri Maharaja. Banyak rakyat negeri itu yang mati ditikam oleh ikan todak yang mampu melompat hingga ke pantai. Untuk mengatasi serangan tersebut, Paduka Seri Maharaja telah memerintahkan rakyatnya berkubukan betis tetapi perintah itu lebih banyak menyebabkan kematian dan kecederaan kepada rakyat yang terlibat. Akhirnya, serangan ikan todak itu dapat diatasi melalui kebijaksanaan seorang budak yang menyarankan penggunaan batang pisang sebagai kubu. serangan ikan todak tersebut ada kaitannya dengan pembunuhan Tuan Jana Khatib yang "mahir akan ilmu khayal lillah lagi tamam dua belas".
- Peristiwa Sang Rajuna Tapa menjadi batu - peristiwa ini menimpa Sang Rajuna Tapa kerana dia telah mengkhianati Raja Iskandar Syah. Pengkhianatan itu dilakukannya selepas Raja Iskandar membunuh anak perempuannya dengan cara yang sangat memalukan dirinya. Untuk membalas perbuatan Raja Iskandar Syah itu, dia telah bersekongkol dengan Majapahit yang menyebabkan Singapura jatuh ke tangan kuasa besar itu.
Pngisian yg pdat dngn mklumat tntang mitos
ReplyDeleteInformasi yang menarik
ReplyDeleteSangat menarik
ReplyDelete