Pembukaan Melaka
Sulalatus Salatin menceritakan Melaka dibuka oleh Raja Iskandar Syah yang lari dari Singapura. Pembukaan Melaka dikaitkan dengan mitos Raja Iskandar Syah melihat kejadian aneh iaitu seekor pelanduk putih menendang anjing perburuan jatuh ke sungai. Ketika kejadian Raja Iskandar Syah menyandar di bawah sepohon pokok bernama Melaka. Melaka mula bertapak sebagai kuasa politik yang kuat dan disegani yang dilihat pada kejayaan Melaka mengatasi ancaman daripada Siam.
Tahap Kegemilangan
Puncak kegemilangandan kejayaan Melaka dicapai pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah dan Sultan Alau'd-Din Riayat Syah. Melaka berperanan sebagai empayar Melayu yang kuat dan besar. Melaka muncul sebagai pusat perdagangan, pusat persinggahan timur dan barat dan pusat pengembangan Islam dan hasil-hasil kesusasteraan Melayu dan Islam di kepulauan Melayu.
Kegemilangan Melaka dikaitkan dengan kewibawaan pembesar-pembesar negeri yang berjaya mentadbir Melaka dengan penuh kebijaksanaan. Ketika ini Melaka melaksanakan dasar perluasan tanah jajahan dan berjaya menakluki Pahang. Keturunan raja Melaka memerintah Pahang misalnya Raja Muhammad. Melaka juga menakluki Inderagiri, Jambi, Siantan, Kampar dan Siak, Haru, Manjong dan Beruas, Kelantan dan Terengganu.
Tahap Kejatuhan
Kerajaan Melayu Melaka mulai mengalami zaman kejatuhan pada masa pemerintahan Sultan Mahmud Syah. Faktor kejatuhan Melaka berkait rapat dengan corak pemerintahan baginda yang lemah.Sultan Mahmud mementingkan hawa nafsu lebih daripada kepentingan negara dan rakyat. Sultan Mahmud Syah dianggap gila perempuan.
Sultan Mahmud juga bersifat kejam dan gemar menjatuhkan hukuman bunuh tanpa usul periksa. Baginda telah membunuh Tun Ali Sandang kerana menghalang hajatnya pada Tun Dewi dan membunuh Bendahara Seri Maharaja kerana Bendahara tidak menunjukkan Tun Fatimah kepada baginda.
Pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud, amalan rasuah berluasa di kalangan pembesar negeri. Misalnya pengikut- pengikut Tun Hassan Temenggung terima rasuah daripada pekedai-pekedai. Saudagar-saudagar memberi persembahan harta benda kepada pembesar untuk tujuan- tujuan tertentu. Selain itu amalan fitnah memfitnah, hasad dengki dan dendam berluasa. Semuanya berpunca kerana meletakkan kepentingan diri mengatasi kepentingan kerajaan dan negeri.
Akhirnya kejatuhan Melaka dimuktamadkan dengan serangan dan penaklukan oleh Portugis yang dipimpin oleh Alfonso de Albuquuerque.
Prkngsian yg brmnfaat👍
ReplyDelete