Tuesday, 29 May 2018

FUNGSI MITOS DAN LAGENDA

DEFINISI MITOS

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2006), mitos membawa maksud cerita zaman dahulu yang dianggap benar, terutamanya yang mengandungi unsur-unsur konsep atau kepercayaan tentang sejarah awal kewujudan sesuatu suku bangsa, kejadian-kejadian alam. 

DEFINISI LAGENDA
Legenda pula didefinisikan sebagai cerita yang bersangkutan dengan kisah-kisah yang bersejarah.


FUNGSI MITOS

Menurut Hooykas (1965), mitos berfungsi untuk menceritakan tentang asal usul raja-raja. Asal usul raja-raja kerajaan Melayu tua ini kebiasaanya dihubungkan dengan objek-objek seperti buluh, buih dan mayang pinang. Tujuan utama gambaran tentang asal usul raja ini digembar gemburkan adalah untuk meningkatkan taraf dan kedudukan raja. Hal ini kerana, dalam kisah-kisah yang dipaparkan, raja-raja ini mempunyai keupayaan untuk berhubung secara langsung dengan tokoh-tokoh jin, lembu dan Batala, tokoh mitos Puteri Mahtabu’l Bahri dan Raja Aftabu’l Ardh serta pelbagai lagi tokoh dari dalam laut dan kayangan, (Yusoff Iskandar, 1986).


 Contohnya kisah berkenaan dengan Raja Suran, yang merupakan keturunan Iskandar Zulkarnain, yang dikatakan telah masuk ke dalam laut. Dalam pengembaraan tersebut, baginda telah terjumpa sebuah negeri yang didiami oleh kaum Bersam. Kaum di negeri Bersam ini terdiri daripada orang kafir dan Islam. Raja Suran kemudiannya dikhabarkan berkkahwin dengan puteri kerajaan tersebut iaitu, Puteri Mahtabu’l Bahri dan dikurniakan tiga orang putera.



 Raja Suran kemudiannya pergi menemui raja jin iaitu Asmaghayah Peri untuk meminta supaya dibuatkan tiga buah mahkota untuk puteranya. Mahkota itu menjadi lambang kebesaran dan keturunan Iskandar Zulkarnain. Setelah itu, Raja Suran pun keluar dari laut dan menuju ke udara dengan menunggang seekor kuda terbang yang bernama Faras’ul Bahri.

 Berdasarkan kisah yang dipaprkan ini, kita dapat melihat dengan jelas bahawa pengarang cuba untuk mengagung-agungkan kedudukan raja dengan menyelitkan pelbagai jenis kebolehan dan keistimewaan baginda. Dalam cerita ini kebolehan dan keistimewaan tersebut ditunjukkan menerusi keupayaan baginda untuk hidup di dalam laut dan keluar dari laut dengan menungggang kuda terbang. 


 Seterusnya, mitos berfungsi untuk menceritakan tentang asal usul sesuatu tempat. Mitos berkenaan dengan asal usul sesuatu tempat ini kebiasaannya dikaitkan dengan unsur-unsur binatang dan anasir-anasir alam seperti pokok kayu, buah-buahan,mayang pinang dan lain-lain. Binatang yang dijadikan unsur mitos itu pula terdiri daripada binatang yang luar biasa sifatnya, tangkas, besar, cerdik dan cantik seperti singa, pelanduk, anjing dan semut besar, (Yusoff Iskandar, 1986).



 Contoh ini dapat dilihat dalam kisah bagaimana Singapura mendapat nama. Menurut Sejarah Melayu, nama Singapura ini diambil daripada nama binatang, iaitu singa. Cerita ini dikaitkan dengan kisah putera ketiga Sang Sapurba Taram Seri Tri Buana yang terserempak dengan binatang ini sewaktu baginda pergi bermain-main di perairan Bentan. Ketika itu, Sang Nila Utama bertanya kepada semua orang yang berada di sekelilingnya berkenaan nama binatang yang dilihat. Namun tiada seorang pun yang tahu. Akhirnya, Demang Lebar Daun menjawab pertanyaan tersebut sambil menambah, tempat ini baik untuk dibuat negeri kerana mempunyai binatang yang gagah. Lalu terbentuklah kerajaan Singapura yang mendapat nama dari singa, manakala pura pula, merujuk kepada bandar dalam bahasa Sanskrit.



 Mitos juga turut dikaitkan dengan sejarah kemasukan agama Islam ke Melaka dan Pasai, (Yusoff Iskandar, 1986). Tujuan utama mitos tentang pengislaman ini dibuat adalah untuk membezakan cara rakyat dan raja memeluk Islam. Raja mempunyai cara yang lebih istimewa dalam memeluk agama Islam berbanding rakyat jelata. Pengislaman raja ini dikatakan berlaku secara langsung dari Mekah dalam mimpi. Dalam mimpi tersebut, mereka bertemu dengan tokoh-tokoh Islam dan beberapa orang wali yang mempunyai hubungan dengan penyebaran Islam di Melaka dan Pasai. Keisitimewaan ini pula muncul berikutan sifat sosial dan politik raja itu yang sememangnya mempunyai taraf yang tinggi dalam masyarakat. Menerusi mitos yang ditampilkan ini, kita dapat mengetahui cara agama Islam berkembang di Melaka, iaitu melalui raja. Seterusnya, pengislaman raja ini diikuti oleh pembesar dan rakyat jelata.



 Mitos tentang kemasukan Islam ini dapat dilihat dalam kisah pengislaman Raja Kecil Besar. Dalam Sejarah Melayu, Raja Kecil Besar dikatakan bermimpi bertemu dengan Rasulullah S.A.W. Dalam mimpi tersebut, baginda telah diajar untuk mengucap dua kalimah syahadah oleh Rasulullah S.A.W, seterusnya baginda juga diberitakan mengenai namanya yang telah ditukar kepada Sultan Muhammad. Sebaik sahaja baginda tersedar daripada mimpi, badan baginda dikatakan berbau wangi dan sudah siap dikhatankan. Mulut baginda pula, lancar sahaja mengucapkan lafaz dua kalimah syahadah.



 Selain itu, mitos juga turut dikaitkan dengan popular idea berhubung dengan sesuatu peristiwa aneh dan ajaib yang berlaku, (Yusoff Iskandar, 1986). Peristiwa ini dipercayai hanya dialami oleh raja ataupun dalam kalangan mereka yang mempunyai hubungan yang rapat dengan istana. Antara contoh popular idea ini ialah berkaitan dengan konsep daulat dan derhaka. Seorang raja dipercayai mempunyai satu bentuk kepercayaan mistik, iaitu daulat. Menerusi kepercayaan ini, rakyat dilarang daripada melanggar hak daulat yang dimiliki oleh raja tersebut. Sekiranya larangan ini diingkari, dalam erti kata yang lain derhaka kepada raja, orang tersebut akan menerima balasan yang buruk.



 Antara contoh kisah yang berkenaan dengan konsep daulat dan derhaka ini ialah kisah berkenaan dengan Sang Rajuna Tapa yang bertukar menjadi batu. Sang Rajuna Tapa merupakan bendahara kepada Raja Iskandar Syah, iaitu pemerintah Singapura. Sang Rajuna Tapa ditimpa daulat Raja Iskandar Syah kerana belot kepada baginda dan bersubahat dengan Majapahit, musuh Singapura. Akibat daripada tindakannya itu, Singapura telah kalah kerana diserang Majapahit. Raja Iskandar Syah kemudiannya lari ke Melaka, manakala Sang Rajuna Tapa dan isterinya bertukar menjadi batu sebaik sahaja Raja Iskandar Syah melarikan diri ke Melaka. Batu itu dipercayai masih lagi wujud di Singapura.



 Disamping itu, mitos juga digunakan sebagai dakyah untuk mengecam penyelewengan yang selalunya dilakukan oleh raja, (Yusoff Iskandar, 1986). Penggunaan mitos digunakan kerana kritikan secara terang-terangan atau langsung kepada raja, boleh menyebabkan seseorang itu dilabel sebagai menderhaka dan boleh ditimpa daulat raja. Jadi, kritikan ini hanya dapat disampaikan dalam bentuk penulisan. Dalam Sejarah Melayu, kritikan ini disampaikan dalam bentuk mitos yang pelbagai.



 Contoh mitos yang berfungsi sebagai kritikan ini dapat dilihat dalam kisah peminangan Puteri Gunung Ledang oleh Sultan Mahmud Syah. Puteri Gunung Ledang telah meletakkan syarat-syarat yang sukar untuk dijadikan hantaran bagi meminang dirinya. Kesemua syarat-syarat tersebut sanggup dipatuhi oleh baginda, walaupun berat. Namun, apabila tiba kepada syarat yang melibatkan nyawa anakanda baginda, baginda tidak sanggup untuk melakukannya. Hal ini jelas membuktikan bahawa baginda seorang opportunist, (Yusoff Iskandar, 1986). Baginda sanggup membiarkan rakyat terkorban dan menderita asalkan kemahuan baginda tercapai, namun apabila kemahuan tersebut melibatkan kepentingan diri dan keluarganya, baru lah baginda melupakan kemahuan baginda yang tinggi itu.



FUNGSI LAGENDA 

Menurut Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim (1986), legenda merupakan kisah-kisah mengenai keperibadian dan keunggulan dalam peribadi yang dimiliki oleh tokoh-tokoh manusia tertentu, tokoh-tokoh yang berkemungkinan besar memang hidup dalam sejarah umpamanya.  Seterusnya, tokoh-tokoh ini pula tidak sunyi daripada dikaitkan dengan tokoh-tokoh yang ada hubungannya dengan kekuatan politik dan agama. 

Di samping itu, keunggulan tokoh-tokoh ini sering dihubungkaitkan dengan watak-watak istimewa dan supernatural seperti gagah, berani, kuat, pintar dan bijak, mempunyai kebolehan dan kekuatan batin yang luar biasa serta sangat terkenal dalam sejarah tempatan sesuatu masyarakat.  Justeru, legenda menjadi kebanggaan bahkan kerap diteladani oleh masyarakat setempat, lalu menjadi milik seluruh masyarakat tersebut.  Berdasarkan hal tersebut, dapatlah diketahui bahawa legenda ini mempunyai fungsinya yang tersendiri.

Masyarakat Melayu amat sinonim dengan konsep ‘tulah raja’.  Barangsiapa yang menderhaka kepada sultan atau raja, mereka akan mendapat hukuman atau terkena ‘tulah raja. Sehubungan dengan itu, antara fungsi legenda menurut Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim (1986: 163) adalah untuk memperkuat konsep ‘daulat’, ‘taat’ dan ‘derhaka’ dalam masyarakat Melayu.

Sesuai dengan hal ini, Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah telah diangkat menjadi model atau simbol kepada ketiga-tiga konsep tersebut.  Hal ini dapat dilihat apabila ia sanggup membunuh sahabat baiknya sendiri, iaitu Hang Jebat yang pada pandangannya telah menderhaka kepada Sultan mereka, iaitu Sultan Mansur Syah sebagai tanda taat dan setianya yang tidak berbelah bahagi kepada rajanya.  Selain itu, Hang Tuah juga sanggup mati untuk memenuhi kehendak sultan Melaka pada ketika itu (Hasbullah Ibrahim dan Noor Aini Shaari, 1993).  Beliau diceritakan sanggup untuk masuk ke dalam kubur disebabkan sultannya yang ingin mengetahui keadaan sebenar di dalam kubur.

Seterusnya, legenda juga berfungsi untuk memuji serta menunjukkan kekuatan fizikal dan mental orang-orang Melayu.  Hal ini dapat digambarkan melalui kebijaksanaan Sultan Mansur Syah dalam mentadbir kerajaannya.  Baginda bertindak menjalin hubungan diplomatik dengan beberapa buah kuasa besar sebagai langkah berjaga-jaga.  Meskipun Siam pada ketika itu telah menyerang Melaka sebanyak dua kali dan tewas, namun itu bukanlah bermakna mereka tidak akan menyerang Melaka lagi.  Maka, Sultan Mansur Syah telah membuat keputusan untuk berbaik-baik dengan Siam.  Hal ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memastikan keamanan kerajaan Melaka.  Berikut merupakan petikan kata-kata baginda:
“Apa bicara tuan hamba sekalian, baiklah kita menyuruh ke benua Siam; apa sudahnya kita beralangan selama ini; kita kelahi dengan dia pun tidak, dan berdamai pun tiada…”
                                                                                                                 (Sulalatus Salatin, hlm. 107)


Hal tersebut jelas menunjukkan kebijaksanaan Sultan Mansur Syah yang secara tidak langsung telah mengangkat kehebatan orang Melayu.  Tujuan tokoh ini ditampilkan adalah untuk memuji ketangkasan mental dan fizikal orang-orang Melayu, sebagaimana Sejarah Melayu dalam memetik kata-kata Betara Majapahit;
“Adapun orang Melayu ini terlalu cerdik daripada segala orang negeri lain; pada sebarang permainan pun tewas juga orang lain oleh orang Melaka”.
                                                                                                                   (Sulalatus Salatin, hlm. 22)

Selain itu,  legenda turut berfungsi menguatkan keyakinan orang Melayu terhadap agama Islam.  Hal ini dapat dilihat daripada kisah Tok Senik di Beserah yang merupakan seorang pemimpin agama telah bertindak membuka Pekan Beserah setelah merantau dari satu tempat ke satu tempat di utara Semenanjung Tanah Melayu (Aripin Said, 1996: 57). 

Kisah ini menunjukkan betapa pengaruh seorang pemimpin agama itu sangat memberi kesan yang besar kepada orang di sekelilingnya.  Hal ini demikian kerana, ketika Tok Senik datang ke pekan tersebut yang pada asalnya masih belum mempunyai nama, beliau terus mencadangkan nama Pekan Beserah kerana dikaitkan dengan kehidupan seorang Islam yang sentiasa berserah kepada Allah dalam apa-apa jua perkara.  Kisah ini juga telah dibawa turun-temurun oleh rakyat tempatan dan dipercayai ramai.  Pada masa yang sama, perkara ini juga sebenarnya mampu mengukuhkan kepercayaan masyarakat terhadap sesuatu tokoh dan peristiwa bercorak sejarah.

Selanjutnya, legenda juga direka adalah untuk menonjolkan tokoh-tokoh legenda.  Sebagai contoh, watak Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah.  Hang Tuah diceritakan dan dilambangkan sebagai seorang yang sangat gagah perkasa. Sebagai buktinya, dia dapat mengalahkan orang Jawa yang mengamuk dan kemudiannya dilantik menjadi laksamana (Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim, 1986: 162).  Sehubungan dengan itu, perihebatnya tokoh ini di mata masyarakat telah digambarkan dalam Sejarah Melayu:
“Adapun akan Laksamana Hang Tuah barang tempat ia pergi, gegak-gempita bunyi orang daripada hebat melihat sikap lakunya.  Jika ia peseban, peseban gempar; jika ia di panggungan, panggungan gaduh dan segala perempuan Jawa anak-anak dara, jikalau ia berjalan ke pasar atau barang ke mana, banyaklah yang gila akan Hang Tuah itu. Dan apabila Hang Tuah lalu, perempuan di dalam pangkuan lakinya itu pun bangun hendak melihat Hang Tuah; itulah dipantunkan Jawa…”
Semua ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menonjolkan tokoh Hang Tuah itu sendiri sekaligus mengangkat watak tersebut.


 Fungsi legenda yang seterusnya adalah untuk memberikan hak legalisasi terhadap raja-raja yang berkenaan (Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim, 1986: 163).  Berhubung dengan hal ini, perihal menghubungkan tokoh-tokoh bersejarah dengan tokoh-tokoh legenda zaman dahulu sebenarnya bukanlah dibuat secara kebetulan, sebaliknya ada kepentingannya yang tersendiri, iaitu untuk kepentingan politik.

Keseluruhannya, dapat dikatakan bahawa tokoh-tokoh sejarah yang dihubungkaitkan  dengan unsur-unsur legenda ini ialah raja-raja sendiri.  Hal ini demikian kerana, mereka berpendapat adalah menjadi haknya merajai sesebuah kerajaan kerana keturunannya sendiri berasal daripada raja-raja, baik raja tersebut muncul dalam bentuk mitos mahupun legenda.  Menurut Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim (1986: 163), raja-raja ini berpendapat mereka bukan daripada manusia biasa dan dijadikan daripada hukum akal dan bersifat biologis.

 Di samping itu, legenda turut berfungsi untuk memperingati peristiwa penting yang berlaku dalam masyarakat Melayu.  Hal ini sangat penting bagi memastikan kelestarian cerita-cerita terdahulu yang boleh dijadikan panduan buat generasi terkemudian baik sebagai hiburan, pengetahuan mahupun peringatan.  Hal ini dapat dilihat dalam Hikayat Hang Tuah yang mengisahkan pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat.  Kisah ini secara tidak langsung dapat membuatkan orang ramai memperingati peristiwa tersebut dan dibawa turun-temurun dari generasi ke generasi.



 Akhir sekali, legenda juga berfungsi menceritakan salasilah raja-raja.  Hal ini dapat dibuktikan melalui Hikayat Raja-raja Pasai, iaitu mengenai salasilah Merah Silau atau Sultan Malikul Saleh, yakni nama baginda selepas memeluk Islam.  Pada awal hikayat ini ada disebutkan tentang salasilah Merah Silau dari awal yang bermula daripada kisah Raja Ahmad dan Raja Muhammad yang masing-masing menjumpai seorang kanak-kanak (Puteri Betung) daripada buluh betung dan seorang lagi dijumpai bersama-sama dengan seekor gajah (Merah Gajah).  Setelah kedua-dua mereka membesar, mereka pun dikahwinkan dan dikurniakan dua orang cahaya mata, iaitu Merah Silau dan Merah Hasum (Russell Jones, 1997).



 Secara umumnya, legenda-legenda ini sengaja diwujudkan dengan tujuan-tujuan tertentu yang dihubungkan dengan seseorang tokoh, raja, pahlawan, ulama dan sebagainya.  Pelbagai sanjungan diberikan kepada individu-individu tersebut.  Di samping itu, sanjungan tersebut pula lahir sesuai dengan fungsinya yang berfungsi memperbesar-besarkan taraf, keturunan dan kedudukan raja yang disanjung.



10 comments:

PERSOALAN TEKS SULALATUS SALATIN

DEFINISI PERSOALAN. persoalan ialah perkara-perkara kecil dalam sesuatu karya yang ada hubungannya dengan tema.  persoalan biasany...