DEFINISI MITOS
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2006), mitos membawa
maksud cerita zaman dahulu yang dianggap benar, terutamanya yang mengandungi
unsur-unsur konsep atau kepercayaan tentang sejarah awal kewujudan sesuatu suku
bangsa, kejadian-kejadian alam.
DEFINISI LAGENDA
Legenda pula didefinisikan sebagai cerita yang bersangkutan
dengan kisah-kisah yang bersejarah.
FUNGSI MITOS
Menurut Hooykas (1965), mitos berfungsi untuk menceritakan
tentang asal usul raja-raja. Asal usul raja-raja kerajaan Melayu tua ini
kebiasaanya dihubungkan dengan objek-objek seperti buluh, buih dan mayang
pinang. Tujuan utama gambaran tentang asal usul raja ini digembar gemburkan
adalah untuk meningkatkan taraf dan kedudukan raja. Hal ini kerana, dalam
kisah-kisah yang dipaparkan, raja-raja ini mempunyai keupayaan untuk berhubung
secara langsung dengan tokoh-tokoh jin, lembu dan Batala, tokoh mitos Puteri
Mahtabu’l Bahri dan Raja Aftabu’l Ardh serta pelbagai lagi tokoh dari dalam
laut dan kayangan, (Yusoff Iskandar, 1986).
Contohnya kisah berkenaan dengan Raja
Suran, yang merupakan keturunan Iskandar Zulkarnain, yang dikatakan telah masuk
ke dalam laut. Dalam pengembaraan tersebut, baginda telah terjumpa sebuah
negeri yang didiami oleh kaum Bersam. Kaum di negeri Bersam ini terdiri
daripada orang kafir dan Islam. Raja Suran kemudiannya dikhabarkan berkkahwin
dengan puteri kerajaan tersebut iaitu, Puteri Mahtabu’l Bahri dan dikurniakan
tiga orang putera.
Raja Suran kemudiannya pergi menemui
raja jin iaitu Asmaghayah Peri untuk meminta supaya dibuatkan tiga buah mahkota
untuk puteranya. Mahkota itu menjadi lambang kebesaran dan keturunan Iskandar
Zulkarnain. Setelah itu, Raja Suran pun keluar dari laut dan menuju ke udara
dengan menunggang seekor kuda terbang yang bernama Faras’ul Bahri.
Berdasarkan kisah yang dipaprkan ini,
kita dapat melihat dengan jelas bahawa pengarang cuba untuk mengagung-agungkan
kedudukan raja dengan menyelitkan pelbagai jenis kebolehan dan keistimewaan
baginda. Dalam cerita ini kebolehan dan keistimewaan tersebut ditunjukkan
menerusi keupayaan baginda untuk hidup di dalam laut dan keluar dari laut
dengan menungggang kuda terbang.
Seterusnya, mitos berfungsi untuk
menceritakan tentang asal usul sesuatu tempat. Mitos berkenaan dengan asal usul
sesuatu tempat ini kebiasaannya dikaitkan dengan unsur-unsur binatang dan
anasir-anasir alam seperti pokok kayu, buah-buahan,mayang pinang dan lain-lain.
Binatang yang dijadikan unsur mitos itu pula terdiri daripada binatang yang
luar biasa sifatnya, tangkas, besar, cerdik dan cantik seperti singa, pelanduk,
anjing dan semut besar, (Yusoff Iskandar, 1986).
Contoh ini dapat dilihat dalam kisah
bagaimana Singapura mendapat nama. Menurut Sejarah Melayu, nama Singapura ini
diambil daripada nama binatang, iaitu singa. Cerita ini dikaitkan dengan kisah
putera ketiga Sang Sapurba Taram Seri Tri Buana yang terserempak dengan
binatang ini sewaktu baginda pergi bermain-main di perairan Bentan. Ketika itu,
Sang Nila Utama bertanya kepada semua orang yang berada di sekelilingnya
berkenaan nama binatang yang dilihat. Namun tiada seorang pun yang tahu.
Akhirnya, Demang Lebar Daun menjawab pertanyaan tersebut sambil menambah,
tempat ini baik untuk dibuat negeri kerana mempunyai binatang yang gagah. Lalu
terbentuklah kerajaan Singapura yang mendapat nama dari singa, manakala pura
pula, merujuk kepada bandar dalam bahasa Sanskrit.
Mitos juga turut dikaitkan dengan
sejarah kemasukan agama Islam ke Melaka dan Pasai, (Yusoff Iskandar, 1986).
Tujuan utama mitos tentang pengislaman ini dibuat adalah untuk membezakan cara
rakyat dan raja memeluk Islam. Raja mempunyai cara yang lebih istimewa dalam
memeluk agama Islam berbanding rakyat jelata. Pengislaman raja ini dikatakan
berlaku secara langsung dari Mekah dalam mimpi. Dalam mimpi tersebut, mereka
bertemu dengan tokoh-tokoh Islam dan beberapa orang wali yang mempunyai hubungan
dengan penyebaran Islam di Melaka dan Pasai. Keisitimewaan ini pula muncul
berikutan sifat sosial dan politik raja itu yang sememangnya mempunyai taraf
yang tinggi dalam masyarakat. Menerusi mitos yang ditampilkan ini, kita dapat
mengetahui cara agama Islam berkembang di Melaka, iaitu melalui raja.
Seterusnya, pengislaman raja ini diikuti oleh pembesar dan rakyat jelata.
Mitos tentang kemasukan Islam ini dapat
dilihat dalam kisah pengislaman Raja Kecil Besar. Dalam Sejarah Melayu, Raja
Kecil Besar dikatakan bermimpi bertemu dengan Rasulullah S.A.W. Dalam mimpi
tersebut, baginda telah diajar untuk mengucap dua kalimah syahadah oleh
Rasulullah S.A.W, seterusnya baginda juga diberitakan mengenai namanya yang
telah ditukar kepada Sultan Muhammad. Sebaik sahaja baginda tersedar daripada
mimpi, badan baginda dikatakan berbau wangi dan sudah siap dikhatankan. Mulut
baginda pula, lancar sahaja mengucapkan lafaz dua kalimah syahadah.
Selain itu, mitos juga turut dikaitkan
dengan popular idea berhubung dengan sesuatu peristiwa aneh dan ajaib yang
berlaku, (Yusoff Iskandar, 1986). Peristiwa ini dipercayai hanya dialami oleh
raja ataupun dalam kalangan mereka yang mempunyai hubungan yang rapat dengan
istana. Antara contoh popular idea ini ialah berkaitan dengan konsep daulat dan
derhaka. Seorang raja dipercayai mempunyai satu bentuk kepercayaan mistik,
iaitu daulat. Menerusi kepercayaan ini, rakyat dilarang daripada melanggar hak
daulat yang dimiliki oleh raja tersebut. Sekiranya larangan ini diingkari,
dalam erti kata yang lain derhaka kepada raja, orang tersebut akan menerima
balasan yang buruk.
Antara contoh kisah yang berkenaan
dengan konsep daulat dan derhaka ini ialah kisah berkenaan dengan Sang Rajuna
Tapa yang bertukar menjadi batu. Sang Rajuna Tapa merupakan bendahara kepada
Raja Iskandar Syah, iaitu pemerintah Singapura. Sang Rajuna Tapa ditimpa daulat
Raja Iskandar Syah kerana belot kepada baginda dan bersubahat dengan Majapahit,
musuh Singapura. Akibat daripada tindakannya itu, Singapura telah kalah kerana
diserang Majapahit. Raja Iskandar Syah kemudiannya lari ke Melaka, manakala
Sang Rajuna Tapa dan isterinya bertukar menjadi batu sebaik sahaja Raja
Iskandar Syah melarikan diri ke Melaka. Batu itu dipercayai masih lagi wujud di
Singapura.
Disamping itu, mitos juga digunakan
sebagai dakyah untuk mengecam penyelewengan yang selalunya dilakukan oleh raja,
(Yusoff Iskandar, 1986). Penggunaan mitos digunakan kerana kritikan secara
terang-terangan atau langsung kepada raja, boleh menyebabkan seseorang itu
dilabel sebagai menderhaka dan boleh ditimpa daulat raja. Jadi, kritikan ini
hanya dapat disampaikan dalam bentuk penulisan. Dalam Sejarah Melayu, kritikan
ini disampaikan dalam bentuk mitos yang pelbagai.
Contoh mitos yang berfungsi sebagai
kritikan ini dapat dilihat dalam kisah peminangan Puteri Gunung Ledang oleh
Sultan Mahmud Syah. Puteri Gunung Ledang telah meletakkan syarat-syarat yang
sukar untuk dijadikan hantaran bagi meminang dirinya. Kesemua syarat-syarat
tersebut sanggup dipatuhi oleh baginda, walaupun berat. Namun, apabila tiba
kepada syarat yang melibatkan nyawa anakanda baginda, baginda tidak sanggup
untuk melakukannya. Hal ini jelas membuktikan bahawa baginda seorang
opportunist, (Yusoff Iskandar, 1986). Baginda sanggup membiarkan rakyat
terkorban dan menderita asalkan kemahuan baginda tercapai, namun apabila
kemahuan tersebut melibatkan kepentingan diri dan keluarganya, baru lah baginda
melupakan kemahuan baginda yang tinggi itu.
FUNGSI LAGENDA
Menurut Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim (1986), legenda
merupakan kisah-kisah mengenai keperibadian dan keunggulan dalam peribadi yang
dimiliki oleh tokoh-tokoh manusia tertentu, tokoh-tokoh yang berkemungkinan
besar memang hidup dalam sejarah umpamanya. Seterusnya, tokoh-tokoh ini
pula tidak sunyi daripada dikaitkan dengan tokoh-tokoh yang ada hubungannya
dengan kekuatan politik dan agama.
Di samping itu, keunggulan tokoh-tokoh ini sering dihubungkaitkan dengan
watak-watak istimewa dan supernatural seperti gagah, berani, kuat, pintar dan
bijak, mempunyai kebolehan dan kekuatan batin yang luar biasa serta sangat
terkenal dalam sejarah tempatan sesuatu masyarakat. Justeru, legenda
menjadi kebanggaan bahkan kerap diteladani oleh masyarakat setempat, lalu
menjadi milik seluruh masyarakat tersebut. Berdasarkan hal tersebut,
dapatlah diketahui bahawa legenda ini mempunyai fungsinya yang tersendiri.
Masyarakat Melayu amat sinonim dengan konsep ‘tulah raja’. Barangsiapa
yang menderhaka kepada sultan atau raja, mereka akan mendapat hukuman atau
terkena ‘tulah raja. Sehubungan dengan itu, antara fungsi legenda menurut
Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim (1986: 163) adalah untuk memperkuat konsep
‘daulat’, ‘taat’ dan ‘derhaka’ dalam masyarakat Melayu.
Sesuai dengan hal ini, Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah telah diangkat menjadi
model atau simbol kepada ketiga-tiga konsep tersebut. Hal ini dapat
dilihat apabila ia sanggup membunuh sahabat baiknya sendiri, iaitu Hang Jebat
yang pada pandangannya telah menderhaka kepada Sultan mereka, iaitu Sultan
Mansur Syah sebagai tanda taat dan setianya yang tidak berbelah bahagi kepada
rajanya. Selain itu, Hang Tuah juga sanggup mati untuk memenuhi kehendak
sultan Melaka pada ketika itu (Hasbullah Ibrahim dan Noor Aini Shaari, 1993).
Beliau diceritakan sanggup untuk masuk ke dalam kubur disebabkan
sultannya yang ingin mengetahui keadaan sebenar di dalam kubur.
Seterusnya, legenda juga berfungsi untuk memuji serta menunjukkan kekuatan
fizikal dan mental orang-orang Melayu. Hal ini dapat digambarkan melalui
kebijaksanaan Sultan Mansur Syah dalam mentadbir kerajaannya. Baginda
bertindak menjalin hubungan diplomatik dengan beberapa buah kuasa besar sebagai
langkah berjaga-jaga. Meskipun Siam pada ketika itu telah menyerang
Melaka sebanyak dua kali dan tewas, namun itu bukanlah bermakna mereka tidak
akan menyerang Melaka lagi. Maka, Sultan Mansur Syah telah membuat
keputusan untuk berbaik-baik dengan Siam. Hal ini tidak lain dan tidak
bukan adalah untuk memastikan keamanan kerajaan Melaka. Berikut merupakan
petikan kata-kata baginda:
“Apa bicara tuan hamba sekalian, baiklah kita menyuruh ke benua Siam; apa
sudahnya kita beralangan selama ini; kita kelahi dengan dia pun tidak, dan
berdamai pun tiada…”
(Sulalatus Salatin, hlm. 107)
Hal tersebut jelas menunjukkan kebijaksanaan Sultan Mansur Syah yang secara
tidak langsung telah mengangkat kehebatan orang Melayu. Tujuan tokoh ini
ditampilkan adalah untuk memuji ketangkasan mental dan fizikal orang-orang
Melayu, sebagaimana Sejarah Melayu dalam memetik kata-kata Betara Majapahit;
“Adapun orang Melayu ini terlalu cerdik daripada segala orang negeri lain; pada
sebarang permainan pun tewas juga orang lain oleh orang Melaka”.
(Sulalatus Salatin, hlm. 22)
Selain itu, legenda turut berfungsi menguatkan keyakinan orang Melayu
terhadap agama Islam. Hal ini dapat dilihat daripada kisah Tok Senik di
Beserah yang merupakan seorang pemimpin agama telah bertindak membuka Pekan
Beserah setelah merantau dari satu tempat ke satu tempat di utara Semenanjung
Tanah Melayu (Aripin Said, 1996: 57).
Kisah ini menunjukkan betapa pengaruh seorang pemimpin agama itu sangat memberi
kesan yang besar kepada orang di sekelilingnya. Hal ini demikian kerana,
ketika Tok Senik datang ke pekan tersebut yang pada asalnya masih belum
mempunyai nama, beliau terus mencadangkan nama Pekan Beserah kerana dikaitkan
dengan kehidupan seorang Islam yang sentiasa berserah kepada Allah dalam
apa-apa jua perkara. Kisah ini juga telah dibawa turun-temurun oleh
rakyat tempatan dan dipercayai ramai. Pada masa yang sama, perkara ini
juga sebenarnya mampu mengukuhkan kepercayaan masyarakat terhadap sesuatu tokoh
dan peristiwa bercorak sejarah.
Selanjutnya, legenda juga direka adalah untuk menonjolkan tokoh-tokoh legenda.
Sebagai contoh, watak Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah. Hang Tuah
diceritakan dan dilambangkan sebagai seorang yang sangat gagah perkasa. Sebagai
buktinya, dia dapat mengalahkan orang Jawa yang mengamuk dan kemudiannya
dilantik menjadi laksamana (Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim, 1986: 162).
Sehubungan dengan itu, perihebatnya tokoh ini di mata masyarakat telah
digambarkan dalam Sejarah Melayu:
“Adapun akan Laksamana Hang Tuah barang tempat ia pergi, gegak-gempita bunyi
orang daripada hebat melihat sikap lakunya. Jika ia peseban, peseban
gempar; jika ia di panggungan, panggungan gaduh dan segala perempuan Jawa
anak-anak dara, jikalau ia berjalan ke pasar atau barang ke mana, banyaklah
yang gila akan Hang Tuah itu. Dan apabila Hang Tuah lalu, perempuan di dalam
pangkuan lakinya itu pun bangun hendak melihat Hang Tuah; itulah dipantunkan
Jawa…”
Semua ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menonjolkan tokoh Hang Tuah
itu sendiri sekaligus mengangkat watak tersebut.
Fungsi legenda yang seterusnya adalah
untuk memberikan hak legalisasi terhadap raja-raja yang berkenaan (Yusoff
Iskandar dalam Zahrah Ibrahim, 1986: 163). Berhubung dengan hal ini, perihal
menghubungkan tokoh-tokoh bersejarah dengan tokoh-tokoh legenda zaman dahulu
sebenarnya bukanlah dibuat secara kebetulan, sebaliknya ada kepentingannya yang
tersendiri, iaitu untuk kepentingan politik.
Keseluruhannya, dapat dikatakan bahawa tokoh-tokoh sejarah yang dihubungkaitkan
dengan unsur-unsur legenda ini ialah raja-raja sendiri. Hal ini
demikian kerana, mereka berpendapat adalah menjadi haknya merajai sesebuah
kerajaan kerana keturunannya sendiri berasal daripada raja-raja, baik raja
tersebut muncul dalam bentuk mitos mahupun legenda. Menurut Yusoff
Iskandar dalam Zahrah Ibrahim (1986: 163), raja-raja ini berpendapat mereka
bukan daripada manusia biasa dan dijadikan daripada hukum akal dan bersifat
biologis.
Di samping itu, legenda turut berfungsi
untuk memperingati peristiwa penting yang berlaku dalam masyarakat Melayu.
Hal ini sangat penting bagi memastikan kelestarian cerita-cerita
terdahulu yang boleh dijadikan panduan buat generasi terkemudian baik sebagai
hiburan, pengetahuan mahupun peringatan. Hal ini dapat dilihat dalam
Hikayat Hang Tuah yang mengisahkan pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat.
Kisah ini secara tidak langsung dapat membuatkan orang ramai memperingati
peristiwa tersebut dan dibawa turun-temurun dari generasi ke generasi.
Akhir sekali, legenda juga berfungsi
menceritakan salasilah raja-raja. Hal ini dapat dibuktikan melalui
Hikayat Raja-raja Pasai, iaitu mengenai salasilah Merah Silau atau Sultan
Malikul Saleh, yakni nama baginda selepas memeluk Islam. Pada awal hikayat
ini ada disebutkan tentang salasilah Merah Silau dari awal yang bermula
daripada kisah Raja Ahmad dan Raja Muhammad yang masing-masing menjumpai
seorang kanak-kanak (Puteri Betung) daripada buluh betung dan seorang lagi
dijumpai bersama-sama dengan seekor gajah (Merah Gajah). Setelah
kedua-dua mereka membesar, mereka pun dikahwinkan dan dikurniakan dua orang
cahaya mata, iaitu Merah Silau dan Merah Hasum (Russell Jones, 1997).
Secara umumnya, legenda-legenda ini
sengaja diwujudkan dengan tujuan-tujuan tertentu yang dihubungkan dengan
seseorang tokoh, raja, pahlawan, ulama dan sebagainya. Pelbagai sanjungan
diberikan kepada individu-individu tersebut. Di samping itu, sanjungan
tersebut pula lahir sesuai dengan fungsinya yang berfungsi memperbesar-besarkan
taraf, keturunan dan kedudukan raja yang disanjung.